Kira-kiranya sudah setahun jugalah blog ini wujud. Tenggelam timbul jugalah blog ni, hanya jika lapang saya kemaskini. Menulis bukanlah kelebihan saya rasanya, tetapi saya suka menulis agar ilmu tidak hilang, boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Medium blog ini pun bukan satu-satunya tempat saya menulis, selalunya saya suka berkongsi pendapat berdasarkan pembacaan dan pengamatan kemudian saya tulis dalam bentuk artikel lalu saya simpan. Tapi bila ada yang memberi galakkan untuk saya menulis, saya teruskan dan anda lihat saya kemaskini “ilmu iman amal” dengan manfaat yang panjang faedahnya inshaAllah, panjangkanlah.. amin..
Ilmu adalah asas, jika tiada asas bangunan boleh roboh dilanda angina taufan, walaupun ianya dihias cantik. Ilmu yang bermanfaat membuahkan taqwa, taqwa lebih kuat daripada angina taufan. Orang bertakwa mengenal matlamat hidup. Lihatlah mereka yang bermanfaat di muka bumi ini, mereka beribadah, hidup itu untuk ibadah. Secara tuntas “ilmu iman dan amal” mengajak saya dan pembaca memuhasabah diri dan mengenal kehidupan akhirat.
Sama ada “ilmu iman amal” ini diminati ramai atau tidak, tidaklah saya risau kerana terlebih dahulu saya telah yakin ia sesuatu yang bermanfaat dan ianya benar.
Bila menulis saya akan pastikan buku saya saya rujuk itu benar dan saya sangat gemar memerhati pendapat ulama’ yang soleh dan muktabar. Saya tidak mampu menjadi seperti mereka, saya hanya sampaikan apa yang baik daripada golongan ulama yang Allah SWT berikan hikmah kepada mereka.
Menjadi orang berilmu itu keperluan, tapi bercita-cita menjadi ulama dan ingin menjadi terbilang maka kita akan binasa! Moga ibadah kita tidak dibinasakan oleh riya’, ujub dan sum’ah. Ikhlaskan niat dalam amalan, ianya membuahkan ketenangan dan menjernihkan hati, akan ditambah hidayah.. Belum tentu kita akan bahagia dan tenang dengan ilmu yang banyak semata-mata jika tiada adab menuntut ilmu, khusyuk, ikhlas dan merendah diri, ianya dikenali akhlak yang hasan. Barulah kita bahagia dan tenang. Hakikat bahagia pula bukan bermakna anda ketawa, hakikat kecewa pula bukan kerana anda menangis. Barangkali orang gembira itu sengsara, orang menangis itu bahagia, tetapi paling pasti kebahagiaan itu akan datang jika mengenal tuhan, bersamaNya dan hanya berharap padaNya..
Di blog “ilmu iman amal” ini anda tidaklah dapat mengenal saya, saya tidak berminat untuk menceritakan hal peribadi, hanya jika perlu. Selamat membaca, agar kita menjadi orang berilmu, beriman dan beramal..
Sunday, May 24, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment