Sunday, May 24, 2009

Menulis “Ilmu Iman Amal”

Kira-kiranya sudah setahun jugalah blog ini wujud. Tenggelam timbul jugalah blog ni, hanya jika lapang saya kemaskini. Menulis bukanlah kelebihan saya rasanya, tetapi saya suka menulis agar ilmu tidak hilang, boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Medium blog ini pun bukan satu-satunya tempat saya menulis, selalunya saya suka berkongsi pendapat berdasarkan pembacaan dan pengamatan kemudian saya tulis dalam bentuk artikel lalu saya simpan. Tapi bila ada yang memberi galakkan untuk saya menulis, saya teruskan dan anda lihat saya kemaskini “ilmu iman amal” dengan manfaat yang panjang faedahnya inshaAllah, panjangkanlah.. amin..

Ilmu adalah asas, jika tiada asas bangunan boleh roboh dilanda angina taufan, walaupun ianya dihias cantik. Ilmu yang bermanfaat membuahkan taqwa, taqwa lebih kuat daripada angina taufan. Orang bertakwa mengenal matlamat hidup. Lihatlah mereka yang bermanfaat di muka bumi ini, mereka beribadah, hidup itu untuk ibadah. Secara tuntas “ilmu iman dan amal” mengajak saya dan pembaca memuhasabah diri dan mengenal kehidupan akhirat.

Sama ada “ilmu iman amal” ini diminati ramai atau tidak, tidaklah saya risau kerana terlebih dahulu saya telah yakin ia sesuatu yang bermanfaat dan ianya benar.

Bila menulis saya akan pastikan buku saya saya rujuk itu benar dan saya sangat gemar memerhati pendapat ulama’ yang soleh dan muktabar. Saya tidak mampu menjadi seperti mereka, saya hanya sampaikan apa yang baik daripada golongan ulama yang Allah SWT berikan hikmah kepada mereka.

Menjadi orang berilmu itu keperluan, tapi bercita-cita menjadi ulama dan ingin menjadi terbilang maka kita akan binasa! Moga ibadah kita tidak dibinasakan oleh riya’, ujub dan sum’ah. Ikhlaskan niat dalam amalan, ianya membuahkan ketenangan dan menjernihkan hati, akan ditambah hidayah.. Belum tentu kita akan bahagia dan tenang dengan ilmu yang banyak semata-mata jika tiada adab menuntut ilmu, khusyuk, ikhlas dan merendah diri, ianya dikenali akhlak yang hasan. Barulah kita bahagia dan tenang. Hakikat bahagia pula bukan bermakna anda ketawa, hakikat kecewa pula bukan kerana anda menangis. Barangkali orang gembira itu sengsara, orang menangis itu bahagia, tetapi paling pasti kebahagiaan itu akan datang jika mengenal tuhan, bersamaNya dan hanya berharap padaNya..

Di blog “ilmu iman amal” ini anda tidaklah dapat mengenal saya, saya tidak berminat untuk menceritakan hal peribadi, hanya jika perlu. Selamat membaca, agar kita menjadi orang berilmu, beriman dan beramal..

Friday, May 8, 2009

Kisah Yusuf AS Berhadapan Godaan Ibu Asuhnya

Kemudian Yusuf AS dibeli oleh keluarga pembesar Mesir, tidak dinyatakan namanya dalam Al Quran, tetapi disebutkan dalam tafsir bahawa namanya ialah Qithfir dan isterinya Zulaikha. Tatkala itu Yusuf AS belum dilantik menjadi Rasul dan berumur sekitar 10 hingga 15 tahun memandangkan dalam Al Quran disebutkan perkataan ghulam, yang merujuk kepada Yusuf AS. Ghulam ialah kalimah ‘arab yang menunjukkan kanak-kanak berumur sekitar 10 hingga15 tahun.


Qithfir dan Zulaikha berharap anak kecil yang dibelinya itu menjadi anak angkat mereka kerana mereka tidak mempunyai anak ditambah lagi baik budi dan rupa paras anak kecil tadi. Pada masa depan Yusuf AS diharapkan bakal menggantikan Qithfir sebagai pembesar di Mesir. Qithfir dan Zulaikha menjaga Yusuf AS dengan penuh kasih sayang, segala kelengkapan mewah dinikmati Yusuf AS, sesuailah dengan kedudukan keluarga angkatnya sebagai orang kenamaan negeri.

Semakin hari, Yusuf AS meningkat dewasa. Allah SWT memberi mukjizat kepada nabi-Nya ini dengan rupa paras yang tampan sehingga dibandingkan Yusuf AS dengan para malaikat. Ulama’ tafsir pula menyatakan separuh kerupawanan yang Allah SWT kurniakan pada manusia, ada pada Yusuf AS. Ada pula pendapat yang menyatakan Nabi Muhammad SAW lebih tampan paras rupanya berbanding Yusuf AS tetapi sengaja Allah SWT menutupinya agar tidak timbul fitnah.

Dalam diam Zulaikha menyimpan perasaan kepada anak angkatnya sendiri. Rasa cintanya bukan sembarangan, dalam tafsir digambarkan Yusuf AS itu dirinduinya sebanyak mana denyut jantung. Sehinggakan pada satu hari berlakulah satu kisah yang dicatat penting dalam Al Quran untuk iktibar bersama. Umur Yusuf AS ketika ini sekitar 30 hingga 40 tahun. Zulaikha yang selama ini memendam rasa merancang satu perbuatan jahat iaitu ingin menggoda Yusuf AS agar melakukan maksiat dengannya. Waktu itu pintu rumah dikunci, hanya tinggal Yusuf AS dan Zulaikha sahaja. Pada ayat 23 disebutkan, Waghollaqatil abwaaba waqaalat haitalak, dia menutup pintu-pinttu dan seraya berkata “Marilah ke sini”. Lalu Yusuf AS berkata pula qaala ma’aazallah, aku berlindung kepada Allah.

Lalu dikejarnya Yusuf AS hingga ke muka pintu, ditarik baju Yusuf AS hingga carik di bahagian belakang. Kebetulan pula Qithfir yang baru pulang ternampak kelakuan mereka berdua secara langsung. Zulaikha sebenarnya terlebih dahulu mempunyai perancangan licik untuk menyelamatkan dirinya daripada malu atas perbuatan jahatnya. Diadunya pada Qithfir bahawa Yusuf AS lah yang mahu menggodanya. Qithfir pula mengarahkan anak saudara Zulaikha untuk mengadili kecelaruan ini, jika baju Yusuf AS carik di bahagian belakang, Zulaikha lah yang bersalah, jika carik di bahagian hadapan Yusus AS lah yang bersalah. Bukti kukuh menunjukkan Zulaikha yang bersalah, tapi perempuan dilindungi oleh Qithfir kerana menjaga nama baik selaku orang kenamaan Mesir. Yusuf pula dipenjara untuk menutup ‘aib yang telah heboh diperkatakan seluruh Mesir.

Tidak cukup dengan Yusuf AS ingin dipenjara, Zulaikha mengadakan keraian, semua wanita Mesir dijemput hadir. Lalu dipanggilnya Yusuf AS keluar untuk ditatapi oleh wanita yang hadir. Maka tergamamlah wanita-wanita yang hadir, ada yang terpotong jarinya dengan pisau kerana terpukau dengan ketampanan Yusuf AS. Pada ayat 31 disebutkan, waqulna haasha lillaahi maa haaza basharaa inhaaza illaa malikunn kareem, dan berkata “Maha sempurna Allah, ini bukanlah manusia. Sesungguhnya ini tidak lain hanyalah malaikat yang mulia.”

InshaAllah akan disambung kisah Yusuf AS dalam penjara.

Mendidik Syahwat dan Dilema Keremajaan

Allah SWT menganugerahkan nafsu dan ‘aqal, keduanya itu yang membezakan antara manusia dengan haiwan dan manusia dengan malaikat. Insan itu boleh menjadi lebih hina daripada haiwan jika gagal mendidik nafsu dan hilang kewarasan ‘aqal. Insan boleh menjadi lebih mulia berbanding malaikat jika menyalurkan nafsu pada tempatnya dan menggunakan ‘aqal sebagai khalifah muka bumi.

Jiwa remaja selalunya dihantui oleh perasaan suka, kasih dan sayang kepada perempuan oleh lelaki dan sebaliknya. Inilah kasih fitrah yang Allah SWT anugerahkan agar manusia boleh berkembang biak di bumi-Nya. Nafsu syahwat ini Allah SWT tidak datangkan bersendirian tanpa kawalan. Islam memerintahkan agar berkahwin dan dikahwinkan lelaki dan perempuan agar nafsu syahwat itu tunduk pada tempatnya. Bagi yang tidak berpeluang berkahwin lagi, nafsu hanya boleh tunduk dengan elemen kesusahan, seperti berpuasa, melawat kematian, membantu anak yatim dan orang susah.

Nafsu itu akan menjadi gila sekiranya tidak memelihara pandangan mata, duduk berdua-duaan antara bukan mahram dan bergaul bebas. Saat nafsu menguasai diri, akal yang waras selalunya tewas, lalu berlakulah penzinaan, rogol, khalwat dan sumbang mahram. Antara puncanya hari ini kerana media yang menayangkan adegan lelaki dan perempuan dengan keterlaluan, aurat wanita dijadikan iklan untuk tontonan umum, budaya berduaan tanpa ikatan dikatakan sesuatu yang biasa. Inilah satu kejahilan yang membawa kepada kezaliman dan perbuatan dosa! Budaya kuning dan otak biru inilah yang menghancurkan remaja dan masa hadapan. Adakah media tidak tahu malu dan rasa berdosa di hadapan Allah SWT? Kesan yang melanda umat cukup berat, penzinaan menjadikan hilang kehormatan pada zuriat keturunan manusia, hubungan haram sebelum perkahwinan itu akhirnya menimbulkan syak dan ragu kepada pasangan, lalu hilanglah perasaan saling mempercayai, hilanglah kebahagiaan ! Bertaubatlah !

Salah satu kaedah beriman dengan Rasul, adalah dengan mempercayai bahawa Rasul adalah terdiri dari golongan manusia yang bersifat dengan naluri kemanusiaan dan tidak pula merendahkan kedudukannya sebagai Rasul. Begitu juga Yusuf AS, sebenarnya Yusuf AS sendiri berkehendakkan Zulaikha. Lihat pada ayat 24 disebutkan, walaqad hammat bihii wahamma bihaa, sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan maksiat) dengan Yusuf AS, dan Yusuf AS pun bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu. Adapun cerita yang mengatakan Yusuf AS tidak berkehendakkan pada Zulaikha itu ada cerita Israiliyyat, yang cuba menafikan Islam sebagai agama fitrah! Namun, hujah-hujah ketuhanan yang menjadikan Yusuf AS kuat menghalang godaan nafsu. Rasa takut balasan akhirat, persoaalan mahsyar, syurga dan neraka menjadikannya kuat, yang keluar dari lidah Yusuf AS ialah ma’aazallah atau a’uuzubillaah bila berhadapan dengan perkara mughriyat, iaitu perkara yang mendorong nafsu seperti melihat wanita ataupun lelaki.

Masalah Kekeluargaan; Pertarungan antara Nafsu dan Fitrah

Apakah sebab ibu asuhnya sendiri menaruh hati terhadap Yusuf AS? Adakah ianya salah? Bukankah ini fitrah semulajadi manusia ingin berkasih?

Pertamanya, masalah timbul berpunca daripada suaminya sendiri. Ditafsirkan suaminya itu agak lanjut usia, tidak mampu memberikan layanan terbaik kepada isterinya. Ketegasan suaminya itu boleh dipertikaikan. Lihat pada ayat 28 pada kalimah Innahuu minkaidikunna, sesungguhnya itu adalah di antara tipu daya kamu, kalimah kunna adalah untuk menunjukkan kata ramai ataupun kata kebesaran yang merujuk pada Zulaikha. Seoalah-oleh tidak apalah sangat kesalahan yang dilakukan Zulaikha ni. Sepatutnya perkataan Innahuu minkaidikii, agar terkena tepat pada batang hidung Zulaikha akan kesalahannya itu. Qithfir juga sepatutnya daripada awal sudah mengesyaki perbuatan Zulaikha yang cuba menggoda Yusuf AS sebenarnya sudah lama.


Maka dalam Islam kita diajar agar memilih pasangan yang setaraf, baik dari segi kedudukan, pendidikan sehingga paras fizikal itu sendiri. Seorang yang muda remaja tidak layak dikahwini dengan pasangan yang lanjut usia, sabda nabi SAW mafhumnya, kahwinilah orang yang bujang kerana dia lebih manja dan lebih baik dijadikan pasangan. Seorang suami perlu tegas dalam mendidik isteri, membiarkan isteri meninggalkan suruhan agama, membuka aurat, isteri bergaul bebas tanpa rasa cemburu dan bersalah adalah sikap lelaki yang dayus!

Ibu asuhnya sendiri sudah lama menyimpan perasaan terhadap Yusuf AS, ini adalah perkara fitrah ataupun bahasa kebiasaan adalah normal. Memiliki sesuatu yang cantik ialah keinginan yang sukar ditolak. Pertarungan antara nafsu dan fitrah hanya boleh disesaikan dengan ‘ilmu dan hidayah.

Kita selalu percaya bahawa kita akan mendapat keseronokan atas perkara yang belum kita miliki, lalu kebahagiaan akan sentiasa berada di luar cakupan kita. Petua paling mujarab bagi mengubati penyakit jiwa ini adalah dengan menerbitkan rasa shukur atas setiap kurnian Allah SWT. Seseorang yang telah berpasangan selalulah menerbitkan rasa shukur ada kerana ada yang sudi berkongsi hidup dengannya, ini adalah satu pemberian Allah SWT yang cukup bermakna. Maka Allah SWT pasti melimpahi kebahagiaan dengan tanpa diminta. Rasa saling menghormati dan mempercayai senjata paling kuat untuk mengemudi sesebuah keluarga.


Secantik mana seseorang itu bukanlah faktor penetu kebahagiaan dan kesetiaan, rupa yang cantik tadi selalunya mengundang fitnah. Satu hari ianya akan dimamah usia.Dalam memilih pasangan akhlak dan agama paling diutamakan. Akhlak yang baik tidak dimakan usia, sopan santun dalam keluarga terus kekal, ditambah lagi dengan pegangan agama yang menjadikan sesebuah keluarga itu berkongsi satu objektif yang sangat mustahak iaitu mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Manusia tidak dapat mengelak daripada bertemu dan bersua dengan orang lain. Jika tidak berhajat untuk berjumpa dan bersua dengan orang lain, kemungkinan orang lain akan bertemu kita. Setiap pertemuan ada tujuan untuk perkara makruf ataupun mungkar. Begitu juga di alam internet, internet jangan dijadikan medan untuk menabur fitnah dan tuduhan-tuduhan palsu. Maka tulis dan bacalah dengan pedoman iman. Jadikanlah diri kita anak kunci kebaikan.


Baca Juga:
  1. Siapa Lelaki Dayus Menurut Islam.
  2. Kisah Yusuf AS Iktibar untuk Remaja.