Friday, April 24, 2009

Kisah Yusuf AS Iktibar untuk Remaja


Kisah Yusuf Waktu Kecil


"Ahsanul Qhasas" ialah kalimah yang menggambarkan begitu bagusnya Surah Yusuf, kerana dalam banyak-banyak surah dalam Al Quran, kisah Yusuf AS ialah kisah paling baik dari segi plot jalan ceritanya yang terperinci berbanding kisah-kisah lain. Surah Yusuf ialah surah ke-12 dalam Al Quran, diturunkan di Makkah. Diriwayatkan ada segolongan Yahudi yang memeluk Islam setelah mana mendengar Rasul SAW menceritakan perihal Yusuf AS dalam Al Quran, lantaran ianya sama dengan apa yang mereka ketahui.

Pada diri Yusuf AS terbina kukuh jati diri seorang belia remaja yang takutkan Allah SWT. Rupa parasnya yang indah bukanlah hanya mukjizat yang untuk sedap dipandang. Keindahan wajah itu mungkin biasan baik akhlaknya.

Bermula kisah apabila Yusuf AS bermimpi sebelas bintang dan matahari sujud kepadanya. Bagaimana? Allah SWT sahaja yang mengetahui. Lalu mimpi itu dita'bir oleh ayahandanya Ya'qub AS. Yakinlah ayahandanya bahawa putera kesayangannya itu bakal dilantik sebagai insan istimewa, sebagai pesuruh Allah SWT. Ya'qub AS berpesan pada Yusuf AS agar merahsiakan mimpinya itu, bimbang dicemburui oleh saudaranya. Namun sang khadam di rumah mereka mendengar perbualan ini, syaitan pula merencanakan perancangannya yang jahat, lalu tahulah saudaranya akan lebihnya Yusuf AS berbanding diri mereka.

Benar sabda Baginda SAW rasa hasad itu ibarat kayu pembakar amal kebajikan. Dek kerana Ya'qub AS lebih menyayangi Yusuf AS dan Bunyamin melebihi dari yang lain, timbullah rasa iri hati dalam diri saudaranya yang lain.

Saudaranya pun mencari helah, mengajak Yusuf AS bermain di hutan dengan berjanji untuk menjaga Yusuf AS. Pujuk rayu itu dirakam dengan istimewa dalam Al Quran, perhatikan tanda empat segi di atas kalimah "la ta' manuna"; kaedah bacanya dengan dimuncungkan mulut pada sebutan "nu", gambaran bibir yang mencebik untuk menipu Ya'qub AS. Berjayalah mereka membawa Yusuf AS ke hutan untuk bermain. Setelah itu dicampakkan Yusuf AS dalam perigi buta. Diberitahu pula kepada ayahanda Ya'kub AS bahawa Yusuf AS telah dimakan serigala, darah sang serigala sebagai bukti.

Alangkah sedih pilu rasa ayahanda Ya'kub ketika itu, kehilangan anak yang disayangi.

Allah SWT tetap merencanakan perancangannya dengan hikmah tersendiri, saudagar terjumpa Yusuf AS dilihatnya baik paras anak ini, elok kita dagangkan. Di pasar yusuf AS didagangkan. Kasihan Yusuf AS sedari kecil sudah hidup dalam "dagangan", tanpa kasih sayang.

Begitulah biasanya perjalanan kekasih Allah SWT, samalah juga baginda SAW yang dimatikan ayahandanya waktu dua bulan dalam kandungan, ibunya Aminah ketika baginda SAW berumur empat tahun, nendanya Abdul Muttalib dan isterinya Khadijah RA juga meninggal dunia ketika Nabi SAW amat memerlukannya. Pantas kenapakah mereka yang mengaku pejuang Islam hari ini mudah mengaku kalah? Tidakkah kita merasa kerdil berbanding kepayahan yang dilalui mereka yang berjuang di jalan Allah SWT sebelum kita?

InshaAllah akan disambung kisah Yusuf AS digoda Ibu angkatnya.

Kisah Yusuf AS Iktibar untuk Remaja

Diriwayatkan sewaktu pengadilan di padang mahsyar nanti Nabi Yusuf AS akan dipanggil. Lalu golongan belia yang lalai dengan dunianya dibicarakan. Adakah baik rupa parasmu, kekuatan akal dan fizikalmu itu setanding dengan Yusuf AS? Mengapa hambaku Yusuf AS lebih dapat mengatasi gelombang nafsu muda remajanya? Tidak ada daya hamba Allah itu untuk menjawab persoalan ditujukan kepadanya, moga kita tidak begitu.

Moga dapat saya sambung kisah ini untuk memberi peringatan kepada diri saya terutamanya. Sedikit perkongsian kisah Yusuf AS agar kita dapat memerhati semula surah Yusuf AS yang terkandung hikmah untuk para belia seperti saya.

Waktu mudalah ialah waktu untuk membentuk identiti diri. Waktu ini, persimpangan menuju syurga atau ke neraka sudah berada atas tanggungjawab sendiri. Waktu muda belia inilah segalanya indah, tubuh sihat dan akal masih tajam. Alangkah beruntungnya golongan belia yang mengisi waktu mudanya dengan menuntut 'ilmu, melatih diri dengan akhlak sopan agar terbiasa hingga ke hari tua.


Pelakuan maksiat ketika muda remaja selalunya menghantui hingga ke tuamu wahai remaja. Dosa-dosa itu menggelapkan hati daripda menerima nur dari Allah SWT. Keseronokan berpoya-poya hanyalah palsu belaka, sedikitpun tidak membantu di alam akhirat malah ia membawa beban yang cukup berat, takut tergelecek jatuh kita ke neraka, na'uzubillah..

Yakinlah, mujahadah nafsu mengekang buasnya ammarah, lawwamah dan syahwat itu lebih manis berbanding maksiat yang kamu lakukan. Manis di sini ialah nikmat yang tidak terbeli rasa bergangtung harap untuk mendapat redha Rabbul 'Izzati. Wahai orang muda, jangan kita sangka masa muda ini berkekalan. Gunakan ia sebaiknya sebagai bekal perjalanan yang masih panjang. Pun begitu belum pasti kita akan sampai waktu tua, mati itu ibarat jatuhnya buah kelapa, selalunya yang tua akan gugur kadangkala yang muda pun pun gugur jua.

Bukanlah mengingati mati itu berada atas tikar sejadah seperti apa yang selalu difahami. Islam itu adalah cara hidup, kita ada tanggungjawab menuntut ilmu, berkeluarga, menguruskan kekayaan, menghormati ibu bapa dan menjadi remaja beriman..

Ya Allah SWT, jadikanlah hiduku sebagaimana hidup para ulama' dan mujahidin, matikanlah aku sebagaimna matinya para syuhada' dan orang soleh. Amin ya rabbal 'alamin..


Baca Juga:
  1. Disiplin dalam Bertunang
  2. Care for Orphans.. The Forgotting Duty
  3. Detik-detik Masa

No comments: