Demi waktu 'Asar, waktu Dhuha, waktu Fajr, waktu Lail dan Qamar, waktu Shams dan Nahr. Cukup indah dan sempurna kejadian masa yang ditetapkan Allah SWT dalam kitab-Nya..
Rasul SAW tercinta juga berpesan sewajarnya setiap yang bera'qal, selagi akal fikirannya tidak hilang, bahawa dia membagi-bahagi masanya kepada empat :
Waktu untuk si hamba bermunajat kepada pencipta-Nya
Waktu untuk si hamba bermuhasabah tentang dirinya
Waktu untuk si hamba berfikir berhubung barang-barang ciptaan-Nya
Waktu untuk si hamba memenuhi keperluannya, mencari makanan, minuman dan kediaman
Masa yang berlalu, seorang hamba jangan mengkeji. Biarpun dalam masa itu dia berada dalam kepayahan atau kesenangan.
Masa akan datang, tidak seorang hamba pun tahu, apakah dia akan terus hidup atau akan mati? Tidak seorang pun tahu qada' Allah pada masa itu.
Masa sekarang, perlu seseorang berusaha dengan sedaya upaya mengingati Ilahi kerana jika masa berikutnya tidak kunjung tiba, maka dia tidak merasa kecewa. Andaikata berpeluang hidup, dia tetap melaksanakan tugas seperti masa-masa sudah.
Beberapa rangkap syair:
Masa itu hanya dua bahagian, Untuk perhatian semua insan, Masa yang lepas buat peringatan, Masa yang datang buat renungan
Jika semalam kau kesali, Kerana menghinanya diri sendiri, Hari ini buatlah bakti, Agarmu orang terpuji
Usah ditangguh 'amal bakti, Ke hari yang belum dikenal pasti, Mungkin hari menjengah ke mari, Kamu pula telah kembali
Di hari kau mengatur strategi, Sebarang tuah datang mendekati, Hari tetap berlalu pergi, Yang pergi tak akan kembali
Si salih sebelum tidur pula berdoa' Dengan nama Mu ya Allah! Saya letakkan lambung saya ini. Dan dengan namaMulah saya akan mengangkatnya nanti. Jika engkau mengambil nyawaku, maka ampunkanlah aku. Dan jika engkau panjangkan umurku, maka peliharalah sebagaimana engkau memelihara orang-orang salih.
InshaAllah pada penulisan kali ini saya ingin berkongsi tentang cara-cara untuk menghafaz Al-Quran. Walaupun saban hari jadual kita padat dengan bermacam-macam aktiviti, tapi perlu ambil perhatian berkaitan dengan Al-Quran.
Ramai dikalangan kita hari ini mengatakan bahawa ingin menegakkan Al-Quran dan Sunnah Rasul SAW tapi diri kita sendiri tak menjadikan hafalan Al-Quran ini satu budaya. Golongan sahabat dulu berlumba-lumba menghafal isi kandungan dan cuba memahaminya, jauh berbeza dengan pendakwah hari ini.
Moga-moga ini satu muhasabah kepada diri sendiri terutamanya, dan boleh dijadikan panduan untuk kita menghafaz al-Quran ataupun surah-surah lazim.
Bab 1-Persediaan Menghafal Al-Quran
Persiapan Mental dan Penyucian Jiwa
Menghafaz Al-Quran ataupun surah-surah lazim di dalamnya adalah pekerjaan yang sangat berat. Seorang penghafaz dikatakan baru sahaja memulakan kerjayanya sebagai seorang Al-Hafiz jika sudah menghafaz 30 Juzuk, sangat berbeza dengan bidang-bidang akademik lain.
Pesan Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ ‘Ulumuddin
“Seseorang penghafal Al-Quran ketika memulakan membacanya maka sebaik-baiknya hendaklah ia menghadirkan dalam hatinya tentang keagungan Allah SWT, dan hendaklah ia sedar bahawa apa yang dibacanya itu bukanlah ucapan manusia.”
Mempunyai Perhatian Yang Tinggi Terhadap Al-Quran
Kayu pengukur seseorang dikatakan memiliki ihtimam yang tinggi terhadap Al-Quran boleh dikenal pasti menerusi sikap-sikap dan usaha seseorang untuk mendekatkan dirinya kepada Al-Quran. Contonhnya, ia selalu menjadikan Al-Quran sebagai budaya bacaan setiap hari, sentiasa mengikuti aktiviti berkaitan Al-Quran seperti Majlis Tahfiz, kuliah tafsir dan tasmi’.
Boleh juga dikatakan mereka ini mengumpul siri-siri Imam pembaca Al-Quran, naskah Al-Quran di bawa kemana-mana dan sentiasa simpan sebagai koleksi MP3.
Bijak Menguruskan Masa
Sebaiknya calon penghafal Al-Quran mesti mengetepikan hal-hal yang bersifat hiburan apatah lagi jika ianya melalaikan. Wajar Mengurangkan masa tidurnya dengan bangun awal pagi Qiyamullail untuk mengulangkaji hafalan.
Tabah Menghadapi Kesusahan.
Sememangnya kehidupan didepani dengan cabaran silih berganti. Perjalanan menuju cita-cita mulia ini tidaklah semudah dan seindah apa yang dibayangkan. Baik peniaga, guru, pensyarah dan pelajar mempunyai masalah tersendiri dalam masa untuk menghafal, mengulang kaji dan menghadapi berbagai-bagai dugaan hidup.
Firman allah SWT :
“Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia berada dalam (keadaan) susah payah.”(Al-Balad,4)
Penyucian Jiwa Dengan Qiyamullail
Pada tengah malamlah perasaan khusyuk membelah cakrawala hati dan lebih mudah menerima sesuatu yang suci iatu ayat-ayat Al-Quran.
“Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” (Al-Isra’ : 79)
Penyucian Jiwa dengan Berpuasa
‘Ibadah puasa merupakan suatu riadhah yang sangat baik kepada calon-calon al-Hafiz. Kebiasaan puasa sunat patut dikekal bukan sahaja kepada al_Hafiz dan al-Hafizah bahkan para pelajar yang sedang menuntut ‘ilmu.
Sabda Rasul SAW:
“Berpuasalah kalian maka kamu akan menjadi sihat”
Kemampuan menahan lapar, haus dan syahwat akan menambah daya da kekuatan seseorang di dalam mengendalikan nafsu dan emosiyang membawa kepada perkara maksiat dan mungkar. Setelah itu, timbullah sifat-sifat terpuji seperti sabar, kasih-sayang, redha dan banyak lagi.
Penyucian Jiwa dengan Zikrullah da Do’a
Cukup banyak dalil-dalil dalam Al-Quran yang mengajak manusia supaya sentiasa berzikir mengingati tuhan pencipta alam semesta, yang menjadikan setiap masalah dan bala dan Dia jugalah yang mampu menyelesaikannya.
“Berzikir (ingatlah) kamu sekalian kepada-Ku, nescayaAku akan sentiasa mengingatimu” (Al-Baqarah : 152 )
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah Zat Yang Maha Dekat. Aku mengjabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdo’a kepada-Ku” (Al-Baqarah : 186 )
Bijak! Mungkin itu reaksi spontan rakyat Malaysia apabila melihat langkah Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (Proton) untuk mengeluarkan kereta berkuasa elektrik. Dikatakan ianya murah dan mudah diselenggarkan. Apapun Tahniah!!
Kalau dulu dalam 10 tahun lalu, idea-idea sebegini hanya hanya dijadikan prototype tapi sekarang ini ianya memang benar-benar sebuah kereta. Pada saya,langkah ini bukanlah pemikiran luar kotak seperti yang disebutkan, nampak lebih kepada “terpaksa” disebabkan krisis minyak.
Banyak lagi boleh kita fikirkan untuk menambah baik sistem pengangkutan hari ini, cuba kita fikirkan:
Efisiensi – Kereta biasanya mempunya jisim (berat) lebih dari 1 tan, tapi hanya boleh bawa beban dalam lingkungan 400-500 kilogram. Cubalah reka kereta yang lebih kurang sama dengan berat yang boleh ditanggung. Boleh kurangkan kos.
Boleh juga gunakan kuasa air, udara, cahaya dan bunyi.
Hentikan pengeluaran kereta yang hanya boleh membawa 5 penumpang.
Tingkatkan kualiti kenderaan awam, kalau di negara maju seperti Jepun dan Perancis lebih ramai memilih kenderaan awam.
Semuanya tidak mustahil, Allah SWT menciptakan manusia dengan akal yang sangat besar potensinya sebagai khalifah muka bumi ini. Golongan cerdik pandai harus memerah fikiran untuk kebaikan, bukan hanya untuk keuntungan semata-mata. Kalau kita berjaya hasilkan rekaan yang memberi manfaat ianya adalah amal jariah yang cukup besar. Wallahua’lam.
Tahniah saya ucapkan kepada Kepimpinan Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS sesi 2008/2009 atas permulaan gerak kerja yang baik. Kepimpinan baru kali ini kelihatan begitu segar dengan memulakan dengan program rasmi pertamanya iaitu Bengkel Profesionalisme Mahasiwa Islam pada 14 Julai yang lepas dan hari sebelumnya diadakan perkongsian dengan pimpinan lepas. Bahkan bengkel tersebut menjemput :
Tn. Hj. Mohamed Noor Rosli Baharom;Director, Student Support Services.
Dr Ahmad Kamil Mahmud;Head, Information & Communication Tech. / Business Information Systems.
Mr. Fakhizan Romli; Lecturer Electrical & Electronic Eng.
Saya sempat menghadiri kedua-dua sesi walaupun tidak sepenuh masa, tetapi banyak perkara yang baru dan agresif yang dirancang sehinggakan meletakkan Key Performance Indicator (KPI) hingga peringkat antarabangsa. Orang kata “Shoot the star at least you get the moon”, mungkin Rakan Masjid UTP boleh dapat keduanya jika memberi komitmen yang tinggi, InshaAllah.
Saya telah terlibat dalam Rakan Masjid secara rasmi selama 3 tahun, sejak dari tahun persediaan. Jatuh bangun Rakan Masjid saya pernah lihat, rasai dan bebani. Bukan mudah menggalas menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat kampus yang mempunyai berbagai latar belakang :
Golongan Profesional dan intelektual iaitu pentadbir, pensyarah dan pelajar.
Sengaja saya sebutkan satu persatu golongan ini dengan harapan fokus Rakan Masjid tidak tertumpu hanya kepada golongan sasar tertentu. Lebih lagi, mereka bukan semuanya boleh menerima pendekatan yang sama dan ada yang prejudis terhadap Islam dan program-program Islamik. Tidak lupa juga cabaran di peringkat dalaman dari segi pengurusan, kewangan dan paling penting kualiti ibadah ahli Rakan Masjid sendiri !! Jangan hanya sibuk mengubah orang lain, lupa akan diri sendiri !!
Saranan saya selaku bekas kepimpinan:
Mengutamakan pembangunan Fardhu ‘Ain; Inilah keistimewaan Rakan Masjid dan inilah sepatutnya mainstream Rakan Masjid. Macam kita jual produk yang pesaing lain tak jual tentu kita dapat untung. Rakan Masjid satu-satunya yang membawa produk Islam di UTP. Banyak persoaalan tentang zakat dan muamalat contohnya yang masih diambil ringan.
Mengutamakan kerja hasil dari propaganda; Mudahnya bukan nama yang kita cari. Jangan meletakkan kayu ukur yang kita pencapaian pada peringkat tinggi itu kita berjaya. Kita perlu fokus usaha kita memperkenalkan Islam kepada sekitar barulah pergi lebih jauh. Macam seorang ayah perlu menasihati anaknya dahulu sebelum anak jirannya.
Risalah yang jelas; Berhikmah yang terbaik adalah jelas dan tidak berlapik-lapik. Kadang-kadang kita terlalu bersifat kontemporari kononnya memenangi hati mad’u sehingga mesej sukar dijelaskan.
Kuatkan aspek pengurusan; Jangan bercita-cita bertemu musuh, kalau kita sendiri kurang bersedia. Sekalipun kita kuat pun Rasulullah SAW pesan jangan bercita-cita bertemu musuh.
Sekadar lontaran pendapat dan saya optimis dengan Rakan Masjid kali ini dapat memberikan kesan efektif dalam gerak kerja. Wallahua’lam.
Hari ini dalam sejarah! Ini adalah posting pertama, saban hari dunia semakin berkembang, semakin maju. Blogging menjadi fenomena baru yang sangat popular. Kita tidak perlu takut dengan perubahan demi perubahan akan tetapi perlu mempunyai prinsip dalam setiap tindakan. Kertas kerja sebagai seorang hamba Allah SWT harapnya kita sangat maklum dan ambil tahu:
"Demi Masa; Sesungguhnya manusia dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan menetapi kesabaran" Surah Al-Asr 103, 2
Antara sebab untuk menulis blog :
Ini ialah blog peribadi; untuk mengutarakan pendapat dan berkongsi kepakaran.
Bukan tempat untuk menjadi popular.
Mula menulis bermakna catalyst untuk lebih banyak membaca, mengenali tokoh, mengetahui isu semasa dan ambil berat keadaan sekeliling.
Moga mendapat petunjuk dan dikira sebagai kebajikan. Amin.